Presiden YKSNS

Presiden YKSNS
Muhammad Adnan Abdullah, PJK
Tuesday, May 24, 2011

Antara Bersangka Baik dan Berwaspada

Kita senantiasa mengambil sikap bersangka baik terhadap setiap daripada kita. Kita melayan mereka dan mendengar keluh kisah mereka dengan sabar dan tenang lalu kita cuba menggunakan seluruh sumber dan saluran yang ada untuk membantu meringankan beban penderitaan mereka.


Pendekatan kita bersangka baik lalu tindakan kita adalah sedaya upaya kita dengan memperingati seruan agama untuk senantiasa menjadikan diri kita sebagai alat untuk mencapai redha Allah swt. Usaha kita untuk mencapai redha Allah swt dan bukannya penghargaan manusia menyebabkan kita menerima baik sesiapa sahaja yang dirujukkan kepada kita.


Daripada saat kita menerima mereka, kita akan mula menganalisa kes tersebut dan hasil saringan kes ini, YKSNS akan membuat tindakan lanjut dengan menklasifikasikan kes-kes tersebut dan mengusahakan tindakan sepatutnya. 


Dalam menjalankan tugas ini, YKSNS senantiasa berusaha untuk membina hubungan dan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan yang berkaitan. Alhamdulillah setakat ini kita mendapat kerjasama yang amat baik daripada setiap agensi kerajaan. YKSNS cuba menjadi pemudahcara bagi menangani isu-isu klien yang dirujuk supaya tidaklah kedengaran lagi rungutan mereka bahawa mereka seperti bola ditendang ke sana, ditendang ke sini. 


Dalam pada itu, kita dapati timbul keperluan untuk kita berhati-hati dengan setengah-setengah pihak yang datang untuk mendapatkan pertolongan kita bagi menyelesaikan masalah mereka tetapi mempunyai agenda tersembunyi di sebalik kisah sedih mereka. 


Kisah sedih mereka dijadikan umpan semata-mata untuk meraih simpati. Kadang kala mereka begitu bijak dan tersusun tutur bicaranya sehingga kita mungkin terpukau dengan kesungguhan mereka memutarkan duka lara mereka. Namun begitu pengalaman hampir 8 tahun dalam pengurusan klien seperti ini kita dapat meneka dan membuat andaian mengenai kebenaran kisah mereka itu. Selalunya percayalah kepada rasa hati. Rasa hati dan mata hati jarang tertipu atau terleka ataupun terlena. Pandangan tembus dan lantas, singkapannya tepat, taakulannya pun mengena..Apa lagi kuasa minda yang dipanggil brainwave senantiasa menjadi panduan kita. Tidak kurang malahan lebih penting ialah solat minta petunjuk bagi membolehkan kita mendapat ilham dan panduan. 


Kita harus berhati-hati dengan sikap setengah-setengah pihak yang mengamalkan sikap mengambil kesempatan walau dengan apa cara sekalipun. Pertolongan dan bantuan yang diberikan disalahgunakan. Mereka yang sepatutnya dapat bantuan sering terabai tetapi mereka yang tidak sepatutnya dapat berjaya mendapatkan bantuan hanya kerana sikap mereka yang suka mendesak, mengugut, mengancam, pandai bercakap dan sebagainya. 


Usaha perlu dicurahkan untuk menangani isu yang ditimbulkan oleh klien yang hard core, tidak mahu bekerja dan hanya mengharapkan bantuan kewangan. Agensi kebajikan hendaklah bergabung untuk menangani permasalahan ini. Ada pula sekumpulan orang yang bergerak dan menginap di masjid-masjid menjadikan status muallaf untuk mendapatkan bantuan. Tetapi apabila disemak terlalu banyak bantuan sudah diberikan. Namun masyarakat melihat seolah-olah baitul Mal tidak berperanan untuk membantu membela muallaf. Sedangkan sekumpulan kecil golongan ini adalah dari jenis hard core  yang mempunyai pendapat sendiri, jarang menghadiri kursus dan program. Walaupun bukan semua mempunyai sikap seperti itu, namun sedikit sebanyak perbuatan mereka mencemarkan niat murni saudara baru lain yang menerima Islam secara ilmu. Masyarakat bukan Islam memandangkan rendah dan mempertikaikan niat, seolah-olah memeluk Islam hanya untuk mendapatkan status tertentu, bantuan kewangan dan sebagainya. Dana zakat adalah hak saudara baru dan hadiah Allah swt tetapi tidaklah menjadi matlamat utama tetapi kalau ia menjadi matlamat utama akhirnya terpulanglah kepada Allah swt untuk menghakiminya. 


Kita akan cuba menunaikan tanggungjawab kita sebaik-baiknya tanpa takut dan gentar. Pengharapan kita kepada Allah swt, usaha kita adalah asbab kejayaan namun hakikat ketentuan Allah swt yang  benar !


Kalau perlu Akta Orang Papa 1973 perlu digunakan untuk menangani isu seperti ini. Penempatan mereka di institusi berkenaan akan memberi peluang kepada mereka untuk diberikan latihan dan kemahiran pekerjaan dan kembalikan mereka ke masyarakat sebagai  individu yang berproduktiviti dan bermanfaat terutama kepada diri sendiri. 


Kalau kita biarkan mereka berpeleseran, bukan ikhtiqaf tetapi bermastautin di masjid-masjid maka sebenarnya kita tidak membantu mereka tetapi lebih menggalakkan mereka menjadi malas dan hanya meminta-minta. Langkah proaktif ialah untuk memberikan mereka penempatan dan latihan kemahiran untuk pembangunan diri ke arah berdikrari. Bantuan kewangan mudah diberikan tetapi merubah sikap merupakan suatu tugasan yang sukar dan mencabar.. 


Mohon doa Allah swt berikan kekuatan...

Rupa-rupanya ramai ahli keluarga anak yatim!


PESANAN sms yang diterima pagi semalam daripada seorang kenalan terus mengejut benak fikiran saya ketika menelek akhbar tentang nasib anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor.

Katanya, semasa anak-anak yatim itu hidup, mereka tidak dijaga sendiri oleh ibu bapa. Mereka di hantar ke rumah kebajikan itu. Di sana mereka diserah kepada ustaz untuk diberi makan minum dan dididik dengan ilmu agama. Senang cerita tahulah pihak asrama dan madrasah itu hendak mencari dana untuk memelihara anak-anak mereka.


Mereka pun anak-anak yatim, tentu banyak sumbangan derma dihulurkan oleh orang ramai yang bersimpati.
Jadi soal makan minum, pakaian dan kesihatan sudah ada orang yang ambil peduli. Tidak perlu risau apa-apa lagi. Semua ditanggung beres.


Maka dengan 'kemudahan' sedia ada, ibu atau bapa serta saudara mara tidak datang menjenguk pun tak apa. Bukan sebulan sekali menjenguk anak-anak yatim, malah ada yang sudah terlalu lama hingga berbelas tahun tak datang bertanya khabar anak-anak sendiri.


Paling malang, apabila anak-anak yatim itu meninggal dunia kerana tertimbus tanah bukit yang runtuh menimpa mereka, ada waris-waris tanpa segan silu terima wang simpati.
Kata kenalan saya itu lagi, wang itu setelah diterima patut disumbang semula ke rumah anak yatim.


Betul juga pandangannya itu. Itu yang semolek-moleknya. Tetapi resmi orang kita, nampak duit mata pun jadi kelabu. Lupa tentang cerita duka, sebaliknya mula terbayang apa hendak dilakukan pada wang derma itu.


Melihat kepada trend orang Melayu bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu lagi, ada kalangan kita baru hadapi dugaan menjadi janda atau duda dan baru ada dua atau tiga orang anak kecil, sudah mengaku kalah untuk menjaga mereka. Ada yang tanpa malu-malu serah kepada rumah kebajikan atau rumah anak yatim.


Memang pada permulaan hidup ini susah tetapi apabila sudah berkemampuan, ambillah anak-anak itu daripada rumah kebajikan. Rasalah sendiri bagaimana susah senang untuk membesar dan mendidik mereka. Jangan langsung membiarkan anak-anak tinggal di rumah anak yatim.


Pemikiran orang Melayu terhadap rumah kebajikan dan rumah anak yatim patut diperbetulkan. Pihak pengurusan rumah kebajikan pun perlu betul, jangan menerima sahaja orang awam menyerahkan anak-anak mereka.


Kena selidik dan periksa dahulu kemampuan mereka dan saudara mara mereka. Pastikan anak-anak yatim yang diterima masuk terdiri daripada mereka yang telah hilang tempat bergantung.


Jika ada saudara mara yang berkemampuan, minta mereka membantu ambil alih menanggung kos hidup anak yatim berkenaan.


Sebagai Melayu, tak malukah kita melihat anak-anak waris sendiri hidup di rumah kebajikan.


Sesungguhnya Allah nak tunjukkan kepada kita bagaimana sikap waris keluarga anak-anak yatim.






Rencana diambil daripada surat khabar Utusan Malaysia
Monday, May 9, 2011

YKSNS bukan Pusat Jagaan Harian

Kompleks Masjid Tok Muar yang terdiri daripada dua bangunan rumah dan satu bangunan masjid diuruskan atas dasar untuk memberi ruang kepada saudara baru yang menghadapi jalan buntu disebabkan pelbagai kisah pahit maung kehidupan terutama dalam mengharungi liku-liku perjalanan di atas jalan hidayah Iman dan Islam.

Mereka yang tinggal di KMTM adalah atas dasar sukarela dan pilihan sendiri. Lebih daripada itu, konsep kami adalah untuk menyelesaikan permasalahan mendesak dan perlukan tindakan segera. Selanjutnya, pihak kami akan merujuk mereka kepada saluran yang betul untuk tindakan seterusnya. 

Sungguhpun konsep dan falsafah kami adalah sebagai keluarga kedua, kebanyakan tidak akan tinggal lama di KMTM kerana kami akan menguruskan keperluan mereka dan membantu mereka untuk berdikrari. Di antaranya adalah usaha-usaha untuk mencarikan peluang pekerjaan, mendapatkan rumah dan menguruskan persekolahan dan menyalurkan bantuan segera. 

YKSNS yakin dan percaya bahawa setiap daripada kita mempunyai kekuatan diri yang jika bersedia untuk berubah kita dapat melakukan sesuatu untuk kehidupan kita. 

Walaupun YKSNS beroperasi atas dasar seperti ini, kami masih menghormati kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah yang meminta kami mendaftarkan rumah kami dengan mereka di bawah Akta Jagaan Harian. Kami telahpun mengemukakan permohonan kepada Jabatan berkenaan hampir 2 tahun lalu. Kali pertama kami mengemukakan permohonan dan apabila dibuat tindakan susulan, pegawai JKM melaporkan bahawa borang kami hilang, kami buat tindakan kedua dengan menghantar permohonan dan apabila disusul dibagitahu bahawa nama-nama guru yang dimasukkan dalam borang tersebut tiada lagi bekerja di YKSNS kerana melanjutkan pelajaran. Mana tidaknya, nak tunggu kucing bertanduk baru JKM akan memproses borang yang kami hantar. Dihantar borang bagi kali yang ketiga, dibiarkan begitu sahaja, tiada susulan, tiada maklumat, tiada penerangan... lalu tiba-tiba apabila meletup kes YKSNS menuntut hadhanah atas anak-anak terabai, mereka mengganas, memaklumkan dan menyebarkan berita bahawa kami adalah rumah yang tidak berdaftar !! Tetapi sewaktu saya dapat bercakap dengan Pegawai JKM, beliau memaklumkan bahawa JKM tidak pasti dan keliru untuk mengesahkan pendaftaran atas status apa rumah ini perlu didaftarkan tetapi dalam perjumpaan Persidangan Kes Pegawai tadi memaklumkan bahawa pendaftaran belum dikeluarkan kerana MDKP tidak lagi memberikan surat. Mana satu yang betul nie...



Sepanjang operasi YKSNS, JKM telah merujuk lebih daripada 5 kes mereka yang memerlukan penyelesaian segera. Habis manis sepah dibuang !!!

Kami adalah rekod, kami ada laporan dan data mengenai betapa kami sebagai NGO sangat responsif dengan JKM tetapi mereka tidak menghargai kami. Doakan mereka agar berkhidmat jujur dan tidak melepaskan batuk di tangga.


Thursday, May 5, 2011

Data Bank Maklumat Muallaf Bersepadu

Baru-baru ini YKSNS menerima kes rujukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk menerima kemasukan anak-anak saudara baru yang terganggu pelajarannya disebabkan tindakan bapanya membawa anak-anak tersebut berpindah randah. Siasatan menunjukkan tiada sebarang alasan konkrit melainkan kepentingan si bapa yang mempergunakan anak-anak sebagai cara untuk menjana pendapatan dan sumbangan ikhlas sama ada daripada Baitul Mal, NGO, orang-orang perseorangan dan rumah-rumah perlindungan di bawah Baitul Mal di hampir semua negeri di Malaysia. 

Dalam kita bersangka baik dengan setiap klien yang berurusan untuk bantuan, kita harus juga berwaspada dengan taktik segelintar saudara baru yang mengambil kesempatan untuk mendapat sumber kewangan secara mudah dan tidak membelanjakan ke arah kebaikan dan aktiviti bermanfaat. 

YKSNS mempunyai bukti-bukti dan saksi-saksi untuk mengesahkan dakwaan ini. Demi masa depan anak-anak ini, YKSNS telah memajukan permohonan untuk menghalang bapa ini daripada terus mempergunakan anak-anaknya berpindah randah dari negeri ke negeri semata-mata untuk meraih simpati dan bantuan kewangan daripada baitul Mal negeri-negeri kita. Sistem pentadbiran kita terutama melibatkan agama tidak seragam dan tidak mempunyai rangkaian network yang baik menyebabkan terdapat juga kes mereka yang mengambil kesempatan untuk matlamat tertentu. 

Data Bank Muallaf secara bersepadu di seluruh Malaysia hendaklah diwujudkan bagi merekodkan kemasukan Islam secara bersepadu supaya maklumat kemasukan Islam dapat diselaraskan dan sebarang masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.


Monday, May 2, 2011

Anak-anak hadiah Allah swt

Setiap anak-anak bukan barang dagangan untuk diletakkan, dicagarkan atau dijadikan jaminan sebagai pertukaran sesuatu perkhidmatan atau kewangan. Ibu bapa yang mempunyai anak, jagalah hadiah Allah swt itu dengan sebaik mungkin. Hak mereka untuk mendapat pemeliharaan, perlindungan dan kasih sayang sementara menanti tempoh kematangan adalah menjadi kewajipan utama ibubapa mereka. 

Ketidakmampuan ibu bapa untuk memerlihara atau menjaga anak-anak mereka tidaklah menghalalkan mereka untuk memperdagangkan anak-anak mereka walaupun dengan istilah menerima bantuan. Negara kita terutama Negeri Sembilan di mana kerajaannya begitu prihatin dengan kebajikan rakyatnya sudah jelas terbukti mempunyai jaringan sosial untuk menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan. Saluran yang betul untuk perkhidmatan yang mudah perlu dicari dan sebaliknya hendaklah kita tidak mengambil langkah mudah untuk melakukan sesuatu yang tidak bermoral. 

YKSNS akan memperjuangkan hak kanak-kanak kategori ini walaupun terpaksa menghadapi ibu bapa kanak-kanak terbabit andaipun terpaksa menjadi tidak popular dengan cemuhan, tuduhan dan cercaan liar. Segala tindakan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang dan peraturan Malaysia, negara kita yang tercinta. 


AKTA KANAK-KANAK 2001

Akta Kanak-kanak 2001 mengikhtiraf bahawa wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya ialah suatu negara di mana keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan suatu masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan;

Selanjutnya akta tersebut turut mengikhtiraf bahawa seseorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat sedemikian tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu;

Akta tersebut juga turut mengakui bahawa seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya memerlukan perlindungan, pemerliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran, untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul;

Mengikhtiraf bahawa tiap-tiap kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain;

Mengakui bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperolehi keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia;

Mengikhtiraf perasaan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat supaya mereka diberi bantuan yang perlu untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai sumber pemerliharaan, penyaraan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak dalam masyarakat. 



Followers