Presiden YKSNS

Presiden YKSNS
Muhammad Adnan Abdullah, PJK
Saturday, September 25, 2010

Kesinambungan Perjuangan

Baru-baru ini saya terjumpa seorang sahabat lama saya di UKM. Sepanjang saya mengenali sahabat saya ini, beliau adalah seorang yang berkaliber, berpandangan jauh, berpemikiran membina, kreatif, berani kerana agama. Dengan kehendak Allah swt semata-mata beliau kini menyambung pengajian di UKM. Tokoh kontroversi ini mempunyai idea-idea dalam bidang dakwah dan selalu memberi 'cabaran' melalui cetusan ideanya. Kebanyakan perkara yang saya cuba lakukan di YKSNS adalah juga sebahagian daripada idea beliau. Semoga keberkatan Allah swt berada ke atas beliau dan semoga Allah swt memberikan kekuatan dan redha ALlah dalam tempoh beliau dikurantin untuk ditarbiyah bagi menghadapi tugas dan peranan yang lebih besar dalam rencana Allah swt.




Rumusan daripada perbualan santai dalam surau UKM, dapat disimpulkan luahan hatinya bahawa kebanyakan orang hari ini sudah tidak menghargai peninggalan kerja orang lama dan tidak mempertahankan kesinambungan perjuangan. Segala yang terbina dalam tempoh perkhidmatan seseorang telah dirombak dan disusun semula mengikut citarasa dan selera yang baru. Kredibiliti, tenaga dan wang ringgit yang telah dicurahkan untuk mengasaskan roh dan semangat perjuangan kerja kerana agama dalam organisasi tertentu terungkai semata-mata penjenamaan semula untuk menghakis ingatan dan bayangan orang lama. Begitu antara intipati kekesalan hati sahabat saya ini.


Penjenamaan semula ini adalah perkara biasa dalam siasah hari ini. Bayangan orang lama harus dihilangkan dan kredibiliti orang baru mesti diimplementasikan. Barulah nampak di mata orang seseorang itu bekerja, malahan mempunyai kebolehan dan berwawasan. Kita melihat bagaimana seseorang pemimpin cuba meletakkan sesuatu wawasan untuk tempoh tertentu, menggariskan panduan, menyediakan contoh dan melatih kepemimpinan sebagai kesinambungan perjuangannya. Kita sudah melihat bagaimana amanah dan mandat disampaikan dengan penuh hiba dan harapan yang tinggi. Tetapi apabila beralih tangan, kita telah melihat sesuatu perjuangan yang belum selesai diberi tanda noktah. Apabila ada sahaja pemimpin baru menerajui perjuangan tertentu mereka mempunyai trend untuk menukar polisi dan dasar tertentu seolah-olah dasar dan kerja sebelum-sebelum itu tidak berguna dan berbaloi sebaliknya kaedah baru ini adalah yang terbaik dan relevan dengan arus perdana. Kebanyakan kita mempunyai pandangan seperti ini, tidak terlepas diri saya pun berfikiran begitu.


Dalam membincangkan tingkah laku ini, kita harus berfikiran terbuka. Sementara ada benarnya pandangan dan kekecewaan hati orang lama, tetapi masih ada kebenaran pula tindakan perubahan orang baru kerana kedua-dua mempunyai kesan timbal balik. Orang baru tidak mahu ditemplak sebagai tidak berwawasan dan hanya meneruskan apa yang ditinggalkan oleh orang lama lalu mereka lakukan perubahan untuk memperlihatkan hasil tangannya. Timbullah pula masalah buat salah, tak buat pun salah. Mereka tersepit...


Kesinambungan perjuangan dalam bentuk baru. Asas kepada perjuangan ialah kemaslahatan rakyat. Kebajikan umat manusia adalah perkara pokok. Perubahan dalam kaedah perjuangan hanyalah perkara ranting. Perpaduan dan kekuatan ukhuwah adalah perkara utama. Selagi agama disanjung, akidah dijunjung sesuatu kepemimpinan yang terbina dengan restu Allah swt hendaklah diberikan sokongan dengan mengetepikan kekecewaan, kekesalan dan rasa tidak puas hati. Matlamat kita ialah mengajak manusia ke Tuhan. Hakikatnya yang merencanakan ialah Allah swt dan yang memutuskan adalah Allah swt.


Dengan mengingati Allah swt, hati kembali menjadi tenang. Walau pun terdapat perbezaan dalam kaedah pendekatan dalam perjuangan tetapi apabila semboyan telah dibunyikan segala perbezaan hendaklah diketepikan dan kita hendaklah bersatu berada dalam saf untuk mendaulatkan agama ALlah swt.


Pemergian seseorang adalah ketentuan Allah swt. Berhenti kerja, tukar kerja, cerai talak, tengkar gaduh, putus kasih adalah pemergian sementara. Apabila Allah swt menutup satu pintu rezeki, sebenarnya terbuka lagi 10 lagi pintu rezeki lain. Kekayaan Allah swt sangat luar biasa. Mendekati Allah swt sama banyak jumlahnya dengan jumlah umat manusia di muka bumi ini tetapi dengan aqidah yang satu. Antara Tuhan dan hamba mempunyai hubungan terus tanpa perantaraan. Cuma yang menentukan makbulnya ialah saiz dan kekuatan kabel yang menghubungkan talian terus dengan Allah swt. Apabila Allah swt telah memutuskan bahawa tiada lagi rezeki seseorang di sesuatu tempat maka tiada barang sesaat dia dapat bertahan lagi.


Tibanya panggilan Allah swt adalah pemutus kelazatan dunia.

0 comments:

Post a Comment


Followers