Thursday, March 3, 2011
Islam Agama Yang Suci Lagi Mulia tapi penganutnya belum tentu lagi !
4:23 PM |
Posted by
| YKSNS | Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan |
Edit Post
Ajaran Islam adalah ajaran yang suci lagi mulia, menganjurkan segala kebaikan dunia dan akhirat. Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai dan diperakukan di sisi Allah swt menjadikan dasar tauhidnya untuk mengEsakan Allah swt sebagai Tuan Punya Seluruh Isi dan Alam Semesta.
Manakala penganutnya tidak lebih daripada manusia biasa yang banyak dosa dan hina dina belaka. Sebagai manusia mereka tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan. Walaupun saban waktu kita bergelumang dengan dosa tetapi kembalilah ke pangkal jalan dan bertaubatlah sebelum terlambat. Perkemaskanlah diri untuk menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan kita. Perkara yang sudah berlalu tetap berlalu dan tidak dapat diulangmurnikan lagi cuma buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Sesuatu kesalahan ada penebus dan balasannya yang setimpal. Kalau kita sudah direzekikan menghadapi situasi tersebut kita perlu dan bakal menghadapi kegetiran ujian ALlah swt. Sungguhpun pahit umpama hempedu tetapi kita terpaksa menelan jua takdir yang ditetapkan di atas kita. Namun kita tidak boleh berputus asa. Lebih cepat bala Allah swt menimpa umat manusia yang mudah berputus asa.
Jatuh bangun adalah perkara biasa. Berapa kali jatuh tidak menjadi soal melainkan berapa kali kita mampu bangun semula untuk menyusun strategi menghadapi pahit maung kehidupan. Kita tidak perlu rasa malu untuk mengakui kelemahan dan kekurangan kita. Kita mesti menerima manusia seadanya.
Setiap kesalahan perlu menghadapi hukuman dan dendaan. Hukuman dan dendaan bukan bermakna kita tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan dan kasih sayang. Untuk mendapatkan hasil yang berbeza kita mesti menggunakan kaedah yang berbeza. Kalau kaedah memaafkan dan melupakan kesalahan-kesalahan dulu tidak berjaya maka kita mesti menukar kaedah tersebut. Dalam dunia pendidikan pengajaran dan pengukuhan kendiri mempunyai pelbagai cara dan metod. Salah satunya ialah yang melibatkan hukuman yang ditetapkan dalam Undang-undang sesebuah negara. Kita mesti menggunapakai kesemua perkara tersebut dalam memastikan misi kita untuk membentuk tingkah laku manusia mencapai kejayaan. Kita masih belum gagal tetapi percubaan kita untuk membentuk tingkah laku positif telah gagal. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Kita perlu bangkit untuk membuat kaji selidik dan post mortem punca dan sebab-sebab kegagalan seterusnya mengambil langkah pembetulan.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Mengakui kenyataan akan membuat kita lebih tenang menghadapi situasi kritikal malah memberi ruang kepada kebijaksanaan dan hikmah untuk mengambil tempat lebih daripada itu tidak memberi ruang kepada emosi menguasai keadaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment