Presiden YKSNS

Presiden YKSNS
Muhammad Adnan Abdullah, PJK
Tuesday, May 24, 2011

Rupa-rupanya ramai ahli keluarga anak yatim!


PESANAN sms yang diterima pagi semalam daripada seorang kenalan terus mengejut benak fikiran saya ketika menelek akhbar tentang nasib anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor.

Katanya, semasa anak-anak yatim itu hidup, mereka tidak dijaga sendiri oleh ibu bapa. Mereka di hantar ke rumah kebajikan itu. Di sana mereka diserah kepada ustaz untuk diberi makan minum dan dididik dengan ilmu agama. Senang cerita tahulah pihak asrama dan madrasah itu hendak mencari dana untuk memelihara anak-anak mereka.


Mereka pun anak-anak yatim, tentu banyak sumbangan derma dihulurkan oleh orang ramai yang bersimpati.
Jadi soal makan minum, pakaian dan kesihatan sudah ada orang yang ambil peduli. Tidak perlu risau apa-apa lagi. Semua ditanggung beres.


Maka dengan 'kemudahan' sedia ada, ibu atau bapa serta saudara mara tidak datang menjenguk pun tak apa. Bukan sebulan sekali menjenguk anak-anak yatim, malah ada yang sudah terlalu lama hingga berbelas tahun tak datang bertanya khabar anak-anak sendiri.


Paling malang, apabila anak-anak yatim itu meninggal dunia kerana tertimbus tanah bukit yang runtuh menimpa mereka, ada waris-waris tanpa segan silu terima wang simpati.
Kata kenalan saya itu lagi, wang itu setelah diterima patut disumbang semula ke rumah anak yatim.


Betul juga pandangannya itu. Itu yang semolek-moleknya. Tetapi resmi orang kita, nampak duit mata pun jadi kelabu. Lupa tentang cerita duka, sebaliknya mula terbayang apa hendak dilakukan pada wang derma itu.


Melihat kepada trend orang Melayu bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu lagi, ada kalangan kita baru hadapi dugaan menjadi janda atau duda dan baru ada dua atau tiga orang anak kecil, sudah mengaku kalah untuk menjaga mereka. Ada yang tanpa malu-malu serah kepada rumah kebajikan atau rumah anak yatim.


Memang pada permulaan hidup ini susah tetapi apabila sudah berkemampuan, ambillah anak-anak itu daripada rumah kebajikan. Rasalah sendiri bagaimana susah senang untuk membesar dan mendidik mereka. Jangan langsung membiarkan anak-anak tinggal di rumah anak yatim.


Pemikiran orang Melayu terhadap rumah kebajikan dan rumah anak yatim patut diperbetulkan. Pihak pengurusan rumah kebajikan pun perlu betul, jangan menerima sahaja orang awam menyerahkan anak-anak mereka.


Kena selidik dan periksa dahulu kemampuan mereka dan saudara mara mereka. Pastikan anak-anak yatim yang diterima masuk terdiri daripada mereka yang telah hilang tempat bergantung.


Jika ada saudara mara yang berkemampuan, minta mereka membantu ambil alih menanggung kos hidup anak yatim berkenaan.


Sebagai Melayu, tak malukah kita melihat anak-anak waris sendiri hidup di rumah kebajikan.


Sesungguhnya Allah nak tunjukkan kepada kita bagaimana sikap waris keluarga anak-anak yatim.






Rencana diambil daripada surat khabar Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment


Followers