Presiden YKSNS

Presiden YKSNS
Muhammad Adnan Abdullah, PJK
Sunday, January 30, 2011

Pergerakan Tanah dan Keruntuhan Tembok Masjid Tok Muar

Pembangunan di sekeliling bangunan Masjid Tok Muar menyebabkan bangunan masjid tersebut seolah-olah terletak di atas sebuah pulau. Kelihatan indah pada pandangan mata sekalian yang menatap masjid tertua di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini. 

Pemaju yang membangunkan perumahan di sekitar tanah tersebut telah memotong tanah di sekeliling masjid tersebut sehingga menjadikan masjid tersebut berada di kedudukan tertinggi di kawasan perumahan tersebut. Atas desakan kami dan penglibatan Pegawai Daerah ketika itu, pemaju telah mendirikan tembok ala kadar bagi mengelakkan hakisan dan keruntuhan tanah masjid berkenaan. 

Walaupun pembinaan ala kadar telah dibantah tetapi tiada tindakan dibuat sama ada oleh pihak berkuasa ataupun pihak pemaju. Akhirnya dibiarkan sahaja pembinaan tembok berkenaan. Barangkali pembinaanya menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan terutama pihak-pihak yang memantau projek pembinaan. 

Sudah berkali-kali kerisauan telah disuarakan supaya keretakan dan pergerakan tanah yang dikesan diambil tindakan oleh pihak-pihak berkenaan tetapi semua suara tersebut tenggelam dalam arus pembangunan semasa. Tiada pihak yang nampaknya benar-benar kasih akan harta warisan peninggalan zaman berzaman sebagai mercu tanda kedatangan dan perkembangan Islam di Daerah Kuala Pilah ini. 

Barangkali surat permohonan yang saya hantar kepada Kurator Muzium supaya Masjid Tok Muar didaftarkan atau digazetkan sebagai bangunan warisan sejarah itu mungkin telah diarkibkan atau dimuziumkan untuk tatapan orang ramai. Begitulah kita sebagai manusia zaman moden mensia-siakan warisan dan kesan peninggalan sejarah kita. 

Bagi mereka yang berkuasa dan diberikan amanah dan tanggungjawab diharapkan dapat membuat tindakan segera supaya sesuatu perkara itu dapat diselesaikan pada kadar yang segera agar tiada kos tambahan berlaku. Apa yang ingin ditegaskan ialah andai kata , keruntuhan kali ini tidak diambil tindakan segera kemungkinan akan menyebabkan bangunan masjid mengalami keruntuhan dan kerosakan. 

Hati bagaikan dirobek
Melihat keruntuhan ini....
Janganlah hendaknya suara ini dipandang sepi
 kerana datangnya daripada orang yang tiada berdaya upaya
dan tiada ketentuan statusnya...

Pihak-pihak tertentu hendaklah membuat tindakan dan menentukan punca keruntuhan, jika keruntuhan ini disebabkan oleh pembangunan sekitarnya maka hendaklah dipastikan tindakan pembaikpulihan dilaksanakan segera supaya bangunan masjid ini terperlihara sebagai harta intelek kerana nilai seni bina lama dan maklumat sejarah yang amat tinggi maksud dan ertinya pada mercu tanda kedatangan Islam...

1 comments:

Fizsolutionservices said...

a'kum ustaz.biasalah.zaman skrg mana ada orang nak jaga bangunan bersejarah negara.yang penting kemajuan mesti did dahulukan.Iutlah apa yang mereka pandang.

janji kantung mereka terisi tana memikirkan untung nasib anak bangsa yang akan datang.

Post a Comment


Followers